KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Terdapat banyak
kekosongan jawatan dalam negara, namun kekurangan kualiti pemohon terutama
berkomunikasi dalam bahasa Inggeris masih menjadi faktor utama mengapa pencari kerja tidak diambil
bekerja.
Pengurus Pemasaran Produk Jobstreet.com Sdn Bhd Roslinda A Ghani berkata anggapan bahawa jumlah graduan baru tidak berpadanan dengan
kekosongan jawatan dalam negara ini adalah tidak benar.
"Kami sendiri mempunyai kira-kira 24,000
kekosongan jawatan dalam pangkalan data kami sekarang. Jadi
peluang pekerjaan di negara ini tidak terbatas, tetapi hanya pemohon tidak mempunyai kualiti yang diperlukan majikan. "Itu sebabnya sesetengah daripada mereka masih
menganggur," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada
Pameran Kerja Pemuda Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Roslinda berkata sektor Perisian Teknologi Maklumat (IT Software) mempunyai banyak
peluang pekerjaan, tetapi tidak ramai calon tempatan yang mempunyai kelayakan diperlukan.
Eksekutif Kanan K-Workers Development Initiatives (KDI) Azman Hisham Mohd Basir pula berkata selain kurang kelayakan dan kemahiran, generasi-Y terlalu memilih kerja walaupun pelbagai inisiatif telah diambil oleh organisasi untuk membantu mereka
mendapatkan kerja, seperti melalui
pameran kerja.
Azman berkata KDI yang menyertai
Pameran Kerja Pemuda BN untuk kali kedua menyediakan beberapa
kursus latihan kritikal untuk
pencari kerja di bawah kem Kerja MSC Malaysia termasuk 'Oracle Certified Professional', 'JAVA Platform EE6; Business Process Outsourcing (BPO)' dan 'Crystal Report'.
Sementara itu, Pengurus Bahagian Sumber, Perkhidmatan Sumber Manusia Proton Malek Hashim juga mengakui bahawa terdapat beberapa pemohon yang tidak memenuhi kelayakan yang ditetapkan majikan.
"Kami tidak mempunyai masalah dengan pemegang Ijazah, malah kebanyakan mereka cemerlang, tetapi pemegang Diploma ke bawah masih kurang kualiti... kebanyakannya mempunyai
masalah berkomunikasi dalam bahasa Inggeris," katanya.
Malek berkata pameran kerja itu adalah penting sebagai pendedahan yang mudah kepada
pencari kerja dan mereka boleh berinteraksi dengan lebih santai dengan semuanya berada di bawah satu bumbung.
Sejumlah 350 syarikat dari pelbagai sektor, menawarkan lebih 30,000 pekerjaan di pelbagai peringkat termasuk untuk pemegang Ijazah, mengambil bahagian dalam pameran tiga hari itu.
-- BERNAMA
sumber :
http://bernama.com.my/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=628326